Selasa, 24 Mei 2016

INFORMASI PENTING (2)

3. Jangan ambil antibiotik sesuka hati – FOMCA

PETALING JAYA 15 Mac – Orang ramai diminta supaya menghentikan pengambilan antibiotik di luar jadual ubat yang kononnya untuk menambahkan ketahanan badan daripada serangan penyakit.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, terdapat tabiat dalam kalangan orang ramai yang suka mengambil antibiotik walaupun doktor tidak mengarahkan berbuat demikian.
“Disebabkan banyaknya penggunaan dan penyalahgunaan antibiotik telah menyebabkan bakteria di dalam badan menjadi punca penyakit semakin kebal atau imun terhadap antibiotik.
“Malah berlaku peningkatan jumlah bakteria yang lebih kebal terhadap antibiotik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Hari Hak-hak Pengguna Sedunia yang disambut pada 15 Mac setiap tahun dengan tema ‘Jauhkan Antibiotik Daripada Menu’ di ibu pejabat FOMCA, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Operasinya, Saravanan Thambirajah dan Eksekutif Polisi dan Penyelidikannya, Sharvin Subramaniam.
Mohd. Yusuf berkata, antibiotik hanya perlu diambil dengan nasihat doktor ketika mengalami kesakitan dan harus dihabiskan walaupun pesakit telah kembali pulih.
“Pesakit tidak perlu meminta antibiotik kononnya untuk menambah daya tahan penyakit sedangkan tidak semua penyakit berpunca daripada bakteria. Ini termasuklah demam dan selesema yang turut berpunca daripada virus,” katanya.
Menurutnya, tanpa mengira latar belakang pesakit, sama ada bayi, kanak-kanak, sehinggalah golongan dewasa dan tua, mereka tidak dinasihatkan supaya mengambil antibiotik.
“Di hospital-hospital kerajaan pengambilan antibiotik adalah terkawal dan hanya mengikut nasihat doktor. Yang kita bimbang apabila syarikat-syarikat farmasi, klinik-klinik dan pusat rawatan swasta dengan mudah membenarkan pesakit membeli antibiotik walaupun sebenarnya tidak perlu,” katanya.
Tambah beliau, di peringkat antarabangsa, penggunaan antibiotik didapati digunakan secara meluas dalam bidang penternakan.
“Ayam akan disuntik dengan antibiotik bagi tujuan mengelakkan penyakit dan mempercepatkan tumbesaran haiwan tersebut.
“Bagaimanapun di Malaysia, tiada sebarang kes membabitkan penggunaan antibiotik ini dalam bidang penternakan,” jelasnya.
berita antibiotik
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman 

Sumber: Utusan Online
             

4. Pengambilan antibiotik berlebihan menjejas sistem ketahanan tubuh 

KUALA LUMPUR 16 Mac – Pengambilan antibiotik terlalu banyak dalam pemakanan harian boleh menyebabkan kesan negatif kepada sistem ketahanan tubuh manusia yang berfungsi untuk melawan penyakit.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hasnida Zawawi berkata, kekerapan mengambil antibiotik mengundang tubuh terdedah kepada penyakit selain mudah terkena jangkitan.
“Di dalam tubuh manusia, terdapat dua mikroorganisma iaitu bakteria baik serta jahat dan apabila kita mengambil antibiotik, secara tidak langsung membunuh kedua-dua bakteria di dalam badan.
“Apabila kurangnya bakteria baik dalam badan, bakteria jahat akan mendominasi dan sistem ketahanan kita menjadi rendah lalu sukar untuk melawan penyakit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan negara menyasarkan makanan harian terutama ayam bebas daripada kandungan antibiotik menjelang tahun 2020.
Beliau berkata, ketika ini semua ladang ternakan dilarang memberi ayam makanan yang mengandungi antibiotik untuk tempoh tujuh hari sebelum melalui proses penyembelihan bagi mengelak sebarang komplikasi kepada pengguna.
Tambah Hasnida, pemakanan harian ternakan seperti ayam perlu dijaga kualiti makanannya bagi memastikan aspek kebersihan dapat dikawal dan manusia tidak terkena penyakit.
“Pastikan beli ayam yang segar kerana bakteria yang melekat padanya kurang berbanding ayam lama dan pastikan masak ayam tersebut pada suhu tinggi untuk membunuh bakteria.
“Gunakan papan pemotong yang bersih dan pastikan ayam itu tidak bercampur dengan makanan lain kerana bakteria boleh merebak dengan mudah,” ujarnya.
ketahanan antibiotik
Keratan akhbar Utusan  pada 16 Mac 2016

Sumber: Utusan Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan